Syarahan Tahunan 2013 Naib Canselor UMT

Ucapan Penghargaan

Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin menzahirkan rasa gembira dan syukur kerana pada pagi ini, saya berpeluang untuk bersama-sama dengan hadirin sekalian sempena Majlis Syarahan Tahunan  2013 Naib Canselor UMT. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran dif-dif jemputan dan hadirin sekalian ke majlis ini.

Bersama Melangkah Kehadapan

Hadirin yang dikasihi sekalian

1)           Syarahan 100 hari menjadi Naib Canselor, menggariskan apakah yang telah saya kenali mengenai Universiti Malaysia Terengganu dan bagaimana saya berhasrat untuk mengurus dan membawa universiti ini ke tahap yang lebih cemerlang dan dihormati. Perkara yang diperhatikan meliputi aspek memantapkan hala tuju, menambah baik organisasi pengurusan dan memperkenalkan beberapa pendekatan baharu dalam pembangunan bakat akademik, proses pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, serta aktiviti pemindahan ilmu. Dalam syarahan tersebut saya menyeru kepada warga kampus supaya kita bersama bertekad menjadikan UMT sebuah universiti berfokus terunggul di tanah air dan dihormati di rantau Asia Tenggara.

2)           Syarahan kali ini menggariskan harapan dan hala tuju transformasi UMT untuk tahun 2013. Saya akan menggariskan usaha yang telah dilakukan untuk memacu transformasi governans, terutamanya dalam konteks penambahbaikan sistem sokongan akademik, penyelidikan dan pelajar. Saya juga akan menjelaskan dasar dan strategi bagi melaksanakan pelan transformasi akademik yang akan bermula pada awal tahun ini. Ia meliputi penilaian semula program akademik sedia ada dan memperkenalkan program baharu yang relevan dan berwawasan. Aspek lain yang akan diperjelaskan meliputi pendekatan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi, strategi penjanaan pendapatan, inisiatif utama tahun 2013, dan ringkasan amanat yang baharu sahaja disampaikan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi.

Memacu Transformasi Governans serta Memperkasa Budaya Perancangan Strategik dan Kecemerlangan

Hadirin yang dikasihi sekalian,

3)           Pada tahun 2012, kita telah melaksanakan anjakan pengurusan iaitu memulakan transformasi governans, khususnya dalam konteks penambahbaikan organisasi sistem sokongan pengurusan. Transformasi ini telah dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua warga kampus, melihat kekuatan dan kelemahan kita, menjajarkan dengan hala tuju baharu yang akan kita pelopori, dan disesuaikan dengan gaya pengurusan kepimpinan tertinggi sedia ada.

4)           Untuk memastikan UMT bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang tepat, kita perlu memperkasa budaya perancangan strategik dan kecemerlangan. Untuk mencapai hasrat ini, proses transformasi governans perlu memberikan perhatian kepada aspek perancangan berpusat di bawah naungan Canselori. Beberapa penambahbaikan telah dan sedang dilaksanakan.

5)           Bahagian Perancangan Strategik telah diperluaskan peranannya dan kini dikenali sebagai Pusat Transformasi, Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko (TPSPR). Berasaskan konsep perancangan 1-3-5 tahun, Pusat ini akan memacu agenda transformasi governans ke arah kecemerlangan. Ia juga akan menjalankan aktiviti semasa iaitu perancangan strategik yang meliputi penambahbaikan berterusan Pelan Pembangunan Strategik UMT serta memantau PSPTN KPT. Pada masa yang sama pusat ini akan menjalankan peranan baharu iaitu Pengurusan Risiko yang melibatkan analisis risiko kepada setiap program dan aktiviti yang akan dilakukan oleh universiti.

6)           Bahagian Komunikasi Korporat diperkukuhkan lagi menjadi Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra (KKPC). Selain merancang dan menjalankan aktiviti komunikasi korporat, pusat ini juga akan diberikan mandat untuk menyelaras aktiviti pembangunan citra sehingga UMT berjaya dikenali di peringkat tempatan, kebangsaan dan global berteraskan jenama ‘Terokaan Seluas Lautan untuk Kelestarian Komuniti Sejagat’. Pada masa yang sama, pusat ini juga akan melaksanakan aktiviti pengantarabangsaan, khususnya melibatkan promosi meningkatkan pelajar antarabangsa.

7)           Pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa (KSJA) akan diwujudkan dan ditempatkan di Putrajaya. Kita perlu hubungan yang rapat dengan KPT dan agensi kerajaan pusat yang lain jika mahu terus maju ke hadapan. Pusat ini akan berfungsi sebagai wakil UMT dengan kerajaan pusat, khususnya melalui jemputan mesyuarat dan jaringan strategi. Dengan cara ini, sebahagian daripada tugas pemimpin dan pengurus akademik untuk ke Putrajaya bermesyuarat boleh diambil alih oleh pusat ini. Pada masa yang sama kita perlu mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan jaringan antarabangsa melalui pelbagai peluang dan aktiviti globalisasi yang berlaku di Putrajaya (pusat pentadbiran) dan Kuala Lumpur (pusat perniagaan).

8)           Kita juga perlu memperluaskan dan menjajar peranan Penerbit UMT kepada peranan baharu iaitu sebagai pusat penerbitan akademik dan korporat. Peranan penerbit akademik akan dikekalkan, khususnya untuk penerbitan dua jurnal UMT iaitu Journal of Sustainability Science and Management (JSSM) dan Journal of Business and Social Development (JBSD), penerbitan monograf hasil penyelidikan, dan penerbitan buku teks terpilih. Pada masa yang sama pusat ini akan berfungsi untuk menerbit atau menyelaras penerbitan korporat dalam bentuk majalah, buku dan laporan strategik untuk meningkatkan citra UMT.  

Sistem Sokongan Akademik

Hadirin yang dikasihi sekalian,

9)           Program Akademik, khususnya program pengajian diploma, prasiswazah dan pascasiswazah merupakan urusan (peranan) utama kita. Pelajar yang meneruskan pengajian di UMT mengharapkan mendapat ilmu dan kemahiran baharu, perubahan sikap dan minda ke arah lebih progresif, dan mampu mendapatkan pekerjaan yang diidamkan apabila tamat pengajian kelak. Oleh itu, beberapa perubahan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kita perlu dilakukan.

10)        Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik (PPPA) diwujudkan bagi mengambil alih sebahagian daripada fungsi Pusat Kualiti dan Pembangunan Akademik sambil memberikan fokus kepada perancangan dan pembangunan ‘Program Pengajian’. PPPA akan memberikan tumpuan kepada penambahbaikan berterusan program akademik sedia ada, membantu fakulti untuk membangunkan program baharu dan memantau keberkesanan serta kualiti program pengajian di UMT. Salah satu mandat baharunya ialah PPPA akan melihat program pengajian diploma, prasiswazah dan pascasiswazah dalam satu kontinum pembelajaran yang berterusan. Semua program dirancang dan diselaraskan dengan rapi supaya mobiliti pelajar antara program dan fakulti dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pendekatan ini membolehkan semua program akademik diperkenalkan sebagai program universiti dan peranan fakulti ialah untuk melaksana, menambah nilai dan meningkatkan kualitinya.

11)        Perpustakaan merupakan sistem sokongan utama dalam proses pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan yang perlu dipertingkatkan prestasinya. Transformasi Perpustakaan kepada Pusat Pembelajaran Digital SNZ (PPD-SNZ) merupakan usaha berterusan untuk memantapkan peranan perpustakaan sebagai gedung ilmu. Kita ingin melihat perubahan berterusan aktiviti rujukan daripada bangunan Perpustakaan ke bilik-bilik kuliah, makmal, bilik pensyarah dan pada setiap komputer yang berada di dalam kampus. Pada masa yang sama, pembangunan kemudahan e-Pembelajaran dibangunkan dan diurus bersama dengan pembangunan perpustakaan digital. Pusat ilmu ini juga boleh memperluaskan perkhidmatannya meliputi penyediaan ruang untuk rujukan digital, tempat repisitori, arkib buku dan artifak penyelidikan, muzium khas dan galeri kegemilangan universiti.

12)        Pusat Pengurusan Bakat Akademik (PPBA) diperkenalkan untuk memberikan perhatian yang serius dalam membangun potensi ahli akademik kerana mereka merupakan sumber kepakaran yang menjadi nadi kepada kecemerlangan akademik. Jika sebelum ini urusan pembangunan kerjaya ahli akademik diurus oleh Bahagian Sumber Manusia, khususnya dalam konteks pengambilan, cuti belajar, prestasi tahunan, latihan dan kenaikan pangkat, kini tugas ini akan dilaksanakan oleh PPBA. Kami akan memberikan perhatian kepada pembangunan bakat setiap ahli akademik supaya potensi kesarjanaan mereka terserlah dan dapat dimanfaatkan oleh UMT dan negara. Bahagian Sumber Manusia masih meneruskan usaha menyimpan rekod perjawatan, mengurus latihan kemahiran asas dan memberikan perkhidmatan sokongan pentadbiran.

13)        Pada masa yang sama, melalui Pejabat Pendaftar, kita perlu mengukuhkan pembangunan sumber manusia sokongan atau bukan akademik. Usaha untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka melakukan kerja pelbagai (multi-tasking) masih perlu diteruskan. Untuk meningkatkan kualiti dan prestasi tinggi, sistem latihan dan sangkutan perlu diperkemaskan lagi bagi memenuhi sasaran. Universiti perlu memperbaiki skim perkhidmatan staf sokongan pentadbiran dan teknikal supaya terus berdaya maju dan mendorong mereka bekerja dengan semangat yang tinggi.

Sistem Sokongan Penyelidikan

Hadirin yang dihormati sekalian,

14)        UMT telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam membangunkan bakat penyelidik dan infrastruktur penyelidikan. Ini merupakan kekuatan dan keistimewaan yang perlu dikekalkan. Bagaimanapun, kita masih perlu meneruskan proses penambahbaikan dan pemantapan sistem sokongan sedia ada supaya kita dapat meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan.

15)        Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP) dikekalkan dan diberikan mandat yang lebih terfokus. Pada asasnya pusat ini akan mengurus semua aktiviti penyelidikan yang mendapat dana dari agensi dalam negara, khususnya dana penyelidikan KPT dan MOSTI. Pusat ini akan bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras, mengurus aktiviti dan memantau kualiti hasil penyelidikan. Untuk tahun 2013, kita ingin melihat PPP memberikan tumpuan kepada aktiviti perancangan dan penggalakan penyelidikan melalui dana luar negara seperti pertubuhan kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) di peringkat Asia dan Asia Pasifik, atau Bangsa-bangsa Bersatu. PPP juga akan diberikan mandat untuk mengurus kumpulan penyelidikan berfokus atau Special Interest Group (SIG). Kita ingin menjajarkan semua SIG sebagai kumpulan penyelidikan bertaraf kebangsaan atau antarabangsa yang menyokong aktiviti Penyelidikan dan Inovasi berimpak tinggi yang merentasi sempadan fakulti, institut atau universiti.

16)        Pusat Inovasi dan Pemindahan Ilmu (PIPI) merupakan pusat baharu dikembangkan untuk memperkasa aktiviti pra-komersialan dan jangkauan ilmu. Pada masa ini kebanyakan penyelidikan berakhir dengan penyediaan laporan akhir, pembentangan hasil dalam majlis ilmu (seminar dan persidangan), dan penerbitan ilmiah (prosiding dan jurnal). Dalam aktiviti pra-komersialan, tumpuan yang sama perlu diberikan kepada pembangunan produk dan proses (inovasi teknologi) yang berakhir dengan kerja pengfailan Harta Intelek (IP) dan pemindahan teknologi kepada industri dan masyarakat. Ilmu baharu juga boleh disalurkan kepada kerajaan dan industri melalui aktiviti khidmat nasihat dan pakar (polisi awam dan perundingan) dan kepada komuniti berkepentingan melalui pendidikan dan kesedaran awam (pemindahan ilmu). Dengan cara ini, hasilan penyelidikan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat secara tidak terus dan meluas (inovasi sosial) bagi meningkatkan kesejahteraan sosial.

17)        Pusat Jaringan Penyelidikan ECER (PJP-ECER) diperkenalkan bagi mengambil kesempatan usaha kerajaan untuk membangun Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region, ECER) sebagai pusat pembangunan ekonomi berasaskan pelancongan dan sumber bumi. UMT boleh menjadi pemimpin penyelidikan dan inovasi untuk menyokong transformasi ECER ke arah wilayah yang lebih maju. PJP-ECER akan mengambil alih peranan asas Pusat Jaringan Industri dan Khidmat Komuniti (INComS) dengan memberikan fokus kepada kepentingan jaringan penyelidikan (penyelidikan kolaborasi dan pembangunan) dan pemindahan ilmu kepada negeri di Pantai Timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang). Berasaskan penyelidikan, UMT boleh turut bersama negara, negeri Terengganu dan komuniti untuk meningkatkan ekonomi dan sosiobudaya penduduk wilayah Pantai Timur.

18)        Untuk menggalakkan perkongsian peralatan canggih dan meningkatkan kualiti penyelidikan berimpak tinggi, kita akan menyediakan kemudahan melalui pendekatan Makmal Berpusat (MB). Pada masa yang sama makmal pengajaran, makmal penyelidikan institut atau fakulti masih dikekalkan. Matlamat asas pembangunan MB ialah bagi membolehkan UMT menyediakan peralatan canggih dan mahal yang boleh digunakan oleh semua penyelidik di UMT dengan cara lebih berkesan, kos efektif dan penyelenggaraan yang rapi. Makmal begini akhirnya boleh dinaik taraf menjadi Makmal Kebangsaan dan diperluaskan penggunaannya untuk para saintis kebangsaan. Konsep makmal berpusat akan diperluaskan meliputi Stesen Penyelidikan Luar Kampus. Pada peringkat awal Pusat Penyelidikan Pulau Bidong, Pusat Penyelidikan Tanah Bencah Setiu dan Unit Kapal (Pelabuhan Penyelidikan dan Pengajaran) akan ditempatkan di bawah pengurusan MB.

Sistem Sokongan Pelajar

Hadirin yang dihormati sekalian,

19)        Kita perlu memberikan perhatian kepada keberkesanan aktiviti pelajar di bawah pengurusan Hal-ehwal Pelajar. Saya ingin melihat satu anjakan paradigma daripada kepelbagaian aktiviti kepada keberkesanan pelaksanaan untuk membangun perwatakan dan kemahiran insaniah pelajar di UMT. Kita perlu memberikan perhatian kepada kehadiran pelajar di kampus dan mencari pendekatan bagaimana masa mereka boleh dimanfaatkan untuk pembangunan kendiri. Mereka adalah ‘pelajar dewasa’ yang perlu diberikan kebebasan untuk membuat pilihan dan belajar daripada pilihannya.

20)        Pusat Kokurikulum akan diperluaskan fungsinya dan dikenali sebagai Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP). Tumpuan tidak harus diberikan kepada aktiviti kokurikulum sahaja, sebaliknya meliputi program pembangunan sahsiah, kematangan dan keintelektualan emosi. Oleh kerana kita telah mempunyai sumber manusia dan infrastruktur yang baik di peringkat fakulti, institut dan kolej, PPHP perlu menjalankan tugas penyelarasan dan pemantauan keberkesanan sahaja. Program dan aktiviti sebenar perlu dilaksanakan di peringkat fakulti dan kolej. Dalam konteks ini, fakulti tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pembelajaran formal, tetapi perlu memberikan perhatian kepada pembelajaran tidak formal dan bukan formal.

21)        Dalam syarahan sebelum ini, saya menyatakan alumni adalah aset penting yang tidak ternilai harganya dan boleh menjamin kelestarian masa depan UMT. Sementara atribut kebolehpasaran graduan pula bakal menjadi indeks prestasi utama masyarakat menentukan kecemerlangan pelajar kita. Oleh itu, bagi mengukuhkan perancangan dan pengurusan dua komponen penting ini, sebuah Pusat Pembangunan Alumni dan Keusahawanan (PPAK) diperkenalkan. Kita perlu mempunyai rekod alumni yang kemas kini, dan melaksanakan program alumni secara berterusan dan berstrategi. Kita perlu merancang dan melaksana program bakal alumni (pelajar yang masih berada di kampus), alumni muda (mereka yang baru bergraduat dan membina kerjaya) dan alumni matang (mereka yang telah mencapai kejayaan dan menempah nama) secara tersusun dan dengan sasaran yang jelas. Pada masa yang sama program kebolehpasaran pelajar perlu diarusperdanakan dalam setiap aktiviti pelajar, sama ada dalam program akademik atau bukan akademik.

22)        Pusat Kesihatan Pelajar (PKP) telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang. Saya dapat perhatikan perubahan yang berterusan berlaku untuk memberikan perkhidmatan kepada pelajar yang memerlukan perkhidmatan perubatan. Kita tidak boleh selesa dengan pencapaian semasa dan perlu terus menambah baik perkhidmatan sedia ada. Saya ingin syorkan pusat ini memperluaskan perkhidmatannya meliputi kaunseling untuk kesihatan emosi. PKP juga boleh memberikan tumpuan kepada pendekatan pencegahan dalam memberikan perkhidmatan, umpamanya, memulakan program ‘imbasan perubatan’ untuk semua pelajar. Rekod kesihatan ini akan menggalakkan pelajar mengenali sejarah kesihatan dan mula merancang untuk melaksanakan ‘gaya hidup sihat’. Pada masa yang sama, PKP boleh menjadi pelopor kempen kesedaran awam di kampus mengenai amalan hidup sihat.

23)        Saya telah mengesyorkan supaya kolej dijadikan sebagai ‘tempat pembelajaran kedua’. Lanjutan daripada cadangan ini, kita telah bersetuju untuk menjenama kolej kediaman sebagai Kolej Siswa (KS). Pengurusan KS perlu memainkan peranan baharu sebagai pelaksana ‘pembangunan holistik pelajar’, tidak sekadar menyediakan tempat kediaman yang selesa. KS perlu membangunkan sumber manusia dan infrastruktur yang bersesuaian untuk tujuan ini. Konsep Pengetua sebagai pemimpin ilmu, dan Felo sebagai tenaga pakar perlu dipertegaskan lagi supaya pembelajaran sepanjang hayat berlaku dengan baik di suasana kolej. Kita ingin melihat KS mengambil alih peranan ibu bapa di rumah yang sentiasa memberi peluang (pendidikan dan kasih sayang) kepada anak mereka untuk membangunkan sahsiah mulia dan kemahiran insaniah yang berguna.

Program Akademik Tepat dan Berwawasan

Hadirin yang dihormati sekalian,

24)        Pada syarahan Naib Canselor yang lepas saya telah menyatakan betapa pentingnya kita menilai kembali dan memantapkan program pengajian (akademik) untuk prasiswazah dan pascasiswazah supaya terus relevan dan berdaya saing. Kita perlu memberikan perhatian kepada memperkukuhkan program sedia ada, memulakan program antarabangsa, memperkenalkan program bersifat multidisiplin, dan meningkatkan program pascasiswazah secara kerja kursus. Saya juga telah menekankan kepada keperluan untuk melaksanakan program berasaskan kontinum program “Diploma-Sarjana Muda–Sarjana” sebagai satu kesinambungan pembelajaran yang berterusan. Tahun 2013 merupakan masanya untuk melaksanakan transformasi program akademik ini.

25)        Kita perlu mempunyai dasar pembangunan program akademik yang jelas, tepat dan berwawasan. Ini meliputi program diploma, prasiswazah dan pascasiswazah (kerja kursus atau penyelidikan). Perkara yang perlu diberikan tumpuan meliputi tempoh pengajian, nisbah kursus dasar (umum, bahasa, liberal, insaniah dan kokurikulum) dengan kursus akademik (asas, bidang ilmu, pendedahan kemahiran atau industri), dan sistem pentadbirannya. Dasar ini perlu memberikan keluwesan daripada perspektif program akademik yang berasaskan ilmu tulen, gunaan, dan profesional (ikhtisas). Kita perlu mempelopori cara terbaik untuk mengendalikan kursus asas supaya keberkesanannya tinggi dan mampu membina modal insan syumul yang dicita-citakan. Saya syorkan kursus asas ini dikendalikan oleh Pusat Pengajian Asas (PPA) yang bertaraf fakulti. Saya ingin melihat pusat ini menawarkan pelbagai kursus yang dapat menarik minat pelajar mengembangkan minda terbuka, berketrampilan insaniah, dan menghargai kepelbagaian.

26)        Kita perlu mengembangkan dan memperluaskan program diploma atas dua alasan kritikal. Pertama, meningkatkan jumlah modal insan berkemahiran tinggi yang sangat diperlukan untuk pembangunan negara. Kedua, menjadikan asas pengambilan pelajar cemerlang lepasan SPM untuk mengikuti pelbagai program prasiswazah di UMT. Dalam konteks ini, perancangan program diploma perlu dilakukan dengan teliti supaya dapat memenuhi kedua-dua alasan ini. Atas kepentingan strategik, saya syorkan program diploma dilaksanakan untuk tempoh dua tahun. Tahun pertama semua pelajar didedahkan kepada kursus asas menyerupai program Matrikulasi atau STPM, sementara tahun kedua pula, pelajar diploma ini didedahkan kepada program tahun pertama untuk beberapa kursus terpilih, umpamanya pengurusan dan perakaunan, sains perikanan, sains marin atau sains tulen seperti fizik, kimia dan matematik. Dengan cara ini sebahagian daripada pelajar yang cemerlang dalam tahun dua boleh terus diserapkan ke program prasiswazah yang berkaitan.

27)        Bagaimana untuk menjadikan program prasiswazah di UMT dicari dan menarik perhatian pelajar cemerlang? Program tersebut perlu unik, berpandangan ke hadapan, relevan, berkualiti, dan menjanjikan kerjaya yang baik (kebolehpasaran tinggi). Kita perlu melihat kembali semua program sedia ada daripada perspektif terkini dan pada masa yang sama membangun program baharu yang dapat membebaskan kita daripada persaingan di peringkat tempatan. Kita tidak perlu khuatir membuat penambahbaikan berterusan program sedia ada atau memansuhkan program yang sudah tidak relevan lagi. Bagaimanapun, semua ini hendaklah dilakukan dengan perancangan yang teratur dan berwawasan. Fakulti perlu bekerjasama rapat dengan PPPA untuk menjayakan transformasi program akademik ini.

28)        Tiada ertinya kita memasarkan program prasiswazah kepada pelajar antarabangsa sekiranya hampir semua program kita berciri dan berorientasi tempatan. Seperti yang telah dicadangkan terdahulu, PPPA dan fakulti perlu segera merancang dan melaksanakan program pengajian untuk pelajar antarabangsa (Program Antarabangsa). Program perlu berteraskan kekuatan atau fokus UMT, mempunyai cita rasa (selera) antarabangsa, dan turut dikendalikan oleh beberapa ahli akademik antarabangsa. Pada tahun 2013 ini, saya ingin melihat setiap fakulti memperkenalkan sekurang-kurangnya satu Program Antarabangsa mereka.

29)        Masanya telah tiba untuk kita merancang dan melaksanakan program pascasiswazah, khususnya program Sarjana secara kerja kursus. Program ini boleh dibangunkan berdasarkan kepada kekuatan penyelidikan fakulti dan bidang tujahan universiti. Melalui program Sarjana secara kerja kursus ini, UMT dapat meningkatkan jumlah pelajar pascasiswazah terutamanya daripada kalangan pelajar antarabangsa. Dalam konteks ini juga, kita boleh membangunkan program yang bersifat multidisiplin atau berasaskan sektor pembangunan negara dengan menggembleng kepakaran ahli akademik merentasi fakulti dan institut. Pada masa yang sama, kita perlu meneruskan usaha yang telah dipelopori selama ini iaitu menggalakkan program Sarjana dan Doktor Falsafah berasaskan penyelidikan dan kepelbagaian ilmu setiap ahli akademiknya.

Penyelidikan dan Inovasi Berimpak Tinggi

Hadirin yang dihormati sekalian,

30)        Tahun 2013 akan menjadi titik permulaan kepada pengukuhan pembinaan asas menjadikan UMT universiti berfokus yang memberikan tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi dalam ‘sains kelautan dan akuatik’. Ini bererti, semua program dan projek penyelidikan perlu mempunyai hubungan erat dengan pembangunan ekosistem lautan dan pesisir pantai serta ekosistem sungai dan tasik. Ia meliputi pembangunan kemanusiaan, ekonomi, sumber asli, pemuliharaan warisan tabii, sains gunaan, dan pembangunan teknologi, khususnya daripada perspektif kesejahteraan komuniti, kesihatan alam sekitar dan penjanaan kekayaan negara.

31)        Untuk mengukuhkan ilmu dan kemahiran bakat akademik, mereka perlu membudayakan gagasan ‘penyelidikan sepanjang hayat’ melalui penyelidikan fundamental bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang ilmu yang dipelopori. Aktiviti ini perlu dilaksanakan berasaskan inisiatif individu, lazimnya bersama-sama pelajar siswazah (penyelidikan). Fakulti digalakkan untuk menyediakan dana sokongan tahunan supaya kegiatan ini berlangsung secara berterusan, dan pemantauan perlu dilakukan berasaskan kepada penerbitan kertas penyelidikan dalam jurnal berwasit atau terindeks yang relevan dengan bidang kepakaran.

32)        Usaha Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) perlu dipertingkatkan lagi melalui sumbangan dana luar, terutamanya dari KPT, MOSTI atau agensi lain di dalam dan luar negara. Penyelidikan ini perlu dilaksanakan secara berkumpulan dengan menggembleng bakat merentasi fakulti, universiti dan negara. Kita akan menggalakkan pewujudan kumpulan penyelidikan khas (SIG) untuk menjayakan usaha ini secara berstrategi dan jangka panjang walaupun projek penyelidikan lazimnya diberikan bagi tempoh satu hingga tiga tahun. UMT perlu mengenal pasti atau membangun ‘Pemimpin Penyelidikan’ yang berwibawa sebagai peneraju SIG di sekitaran fakulti dan institut untuk memastikan proses penyelidikan dan pembangunan berkembang segar. Kumpulan ini akan dipantau pencapaian tahunannya melalui aktiviti penyelidikan, penerbitan berkumpulan dan penghasilan harta intelek (IP).

33)        Pada tahap pemindahan ilmu, UMT ingin melihat hasil penyelidikan diterjemahkan kepada aktiviti penasihatan pakar, perundingan dan pendidikan awam. Ini dapat dilaksanakan oleh individu akademik atau SIG melalui projek penyelidikan kontrak, kerja perundingan, pasukan bertindak, sangkutan di industri dan pelbagai bentuk seminar dan bengkel pembangunan keupayaan. Saya ingin melihat pemindahan ilmu berlaku secara profesional, dirancang secara berstrategi dan diasaskan kepada dapatan penyelidikan. Kita perlu memindahkan idea dan hasil penyelidikan (inovasi ilmu) menjadi inovasi teknologi (IP, ciptaan, dan produk atau proses yang boleh dikomersialkan) atau inovasi sosial (dasar, amalan, institusi yang dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat). Pemantauan keberkesanan akan dilakukan berasaskan penilaian output dan outcome (impak) yang dicapai daripada kegiatan ini.

Strategi Penjanaan Pendapatan

Hadirin yang dikasihi sekalian,

34)        Jika UMT mahu terus berkembang, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan dana pengurusan dan pembangunan. Pada masa ini telah terdengar desakan supaya semua IPTA menjana kewangan sendiri, sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan dana pengurusannya. Oleh itu, kita perlu memulakan perancangan menjana pendapatan daripada pelbagai sumber yang berkaitan dengan urusan teras universiti iaitu pendidikan, penyelidikan dan pemindahan ilmu.

35)        Pada masa ini kita memperolehi dana melalui yuran pengajian sekitar 8% daripada keseluruhan dana pengurusan. Ini bererti, kita telah memberikan subsidi sebanyak lebih 90% kepada program pengajian (pendidikan) yang ditawarkan. Masanya telah tiba untuk meningkatkan yuran pengajian kepada sekurang-kurangnya membiaya kos pengajian. Kita perlu mengetahui kos sebenar, dan secara beransur-ansur meningkatkan yuran pengajian kepada nilai sebenar pendidikan. Pada masa yang sama, kita masih boleh mengamalkan subsidi kepada pelajar miskin yang cemerlang melalui pemberian dermasiswa, biasiswa atau bantuan kewangan bagi membolehkan mereka meraih ilmu di UMT.

36)        Ramai dermawan, hartawan, alumni dan organisasi penyumbang berminat untuk membantu anak bangsa mendapat pendidikan tertinggi di universiti. Kita perlu mengambil peluang ini untuk membantu pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga miskin dan berpendapatan sederhana yang belajar di UMT. Untuk ini kita boleh sediakan Tabung Amanah Endowmen untuk Pendidikan. Dengan cara yang sama kita juga boleh memperkenalkan Tabung Amanah Endowmen untuk Penyelidikan dan untuk Pemindahan Ilmu. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita merancang penggunaan dana amanah tersebut dan bagaimana untuk mewujudkan kepercayaan dalam kalangan penderma bahawa kita telah menggunakan dana tersebut secara teratur dan bijaksana. Saya ingin memaklumkan, mulai tahun 2013 ini, Pejabat Bendahari akan memulakan penubuhan tabung amanah ini, dan marilah kita beramai-ramai menjadi dermawan peneraju untuk melancarkan tabung ini.

37)        Mulai tahun 2013, kita perlu memberikan perhatian yang serius untuk memperkasa UMT Jaya Holdings sebagai jentera pemindahan ilmu melalui mekanisme perniagaan. Dalam konteks ini, kita perlu melihat idea ‘perniagaan ilmu’ daripada perspektif sinergi antara ahli akademik, institusi akademik (fakulti dan institut) dan universiti. Sebagai langkah permulaan, Pengarah Urusan UMT Jaya Holdings telah dilantik daripada kalangan ahli akademik. Ini membolehkan kerjasama dan kepercayaan dikukuhkan melalui hubungan rapat antara UMT Jaya Holdings dengan Fakulti dan Institut. Pada masa yang sama, Pelan Perniagaan perlu dibangunkan berasaskan kekuatan UMT dan berfokuskan perniagaan berasaskan ilmu. Oleh itu, pembangunan pelan perniagaan perlu memberikan tumpuan kepada empat bentuk perniagaan berikut:

                                a)            perkhidmatan akademik;

b)           perniagaan berasaskan pendidikan (pembelajaran sepanjang hayat);

c)            perniagaan berasaskan pemindahan ilmu (khidmat pakar dan perundingan); dan

d)           perniagaan berasaskan inovasi teknologi (pengkomersialan produk penyelidikan).

Inisiatif Utama Tahun 2013

Hadirin yang dikasihi sekalian,

38)      Pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif memerlukan sekitaran kampus yang selesa, mesra pelajar dan mesra alam sekitar. Untuk mencapai hasrat ini, mulai tahun 2013 kita akan memulakan aktiviti penambahbaikan ekosistem akademik melalui Program Kampus Lestari. Tumpuan akan diberikan kepada sistem pengangkutan dalam kampus yang mesra pejalan kaki dan berbasikal, menyediakan kawasan riadah berasaskan warisan tabii, meningkatkan kebersihan melalui program kitar semula, serta usaha menjimat penggunaan tenaga. Sebuah Jawatankuasa Kampus Lestari telah diwujudkan untuk merancang dan melaksanakan program ini.

39)      Kita juga akan memulakan aktiviti perancangan dan pembangunan Kampus Ke-2 di Bukit Kor, Marang. Dalam Fasa Pertama (2013-2015) tumpuan akan diberikan kepada penyediaan perancangan keseluruhan dan pembangunan kemudahan dan makmal luar untuk Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM). Pada Fasa ini, UMT akan menyediakan infrastruktur asas seperti jalan, pejabat dan kemudahan pelajar. Ini membolehkan aktiviti latihan lapangan dan penyelidikan dijalankan oleh pelajar di tapak baharu ini. Pada masa yang sama, FASM akan memberikan perhatian kepada komuniti yang telah menyewa sebahagian daripada kawasan ladang untuk aktiviti pertanian. Dengan cara ini jaringan dan proses pemindahan ilmu antara universiti dan komuniti dapat dilaksanakan secara berkesan.

40)      Kita juga akan memulakan penyediaan kemudahan baharu untuk pengajaran dan penyelidikan maritim dan sains marin. Pembangunan kemudahan Pelabuhan Pengajaran dan Penyelidikan (PPP) akan dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan negeri Terengganu. Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM) dan Makmal Berpusat akan diberikan tanggungjawab untuk menyediakan kertas konsep pembangunan kemudahan ini. Apabila semuanya lengkap, PPP ini dapat menyediakan kemudahan pelabuhan untuk kapal penyelidikan kita, makmal pembelajaran dan penyelidikan, kemudahan jeti untuk nelayan, dan ruang inkubator bagi menjayakan inovasi melalui jaringan universiti-industri. Dalam Fasa Pertama (2013-2015) tumpuan akan diberikan kepada penyediaan pelabuhan dan makmal asas untuk pengajaran.

41)      Seperti dalam Majlis Konvokesyen Ke-10 yang lepas, saya ada menyatakan UMT berhasrat untuk mewujudkan Institut Penyelidikan Kenyir (IKK). Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara unik di Terengganu dan boleh menjadi ikon keilmuan di Pantai Timur. Dapatan penyelidikan baharu oleh ahli akademik kita boleh dikenali sebagai ‘Pemikiran Kenyir’ (Kenyir School of Thought). Sebetulnya, UMT telah mempunyai beberapa kumpulan kecil yang menjalankan penyelidikan di kawasan sekitar Tasik Kenyir, umpamanya, Kumpulan Penyelidikan Tasik Kenyir (Fakulti Perikanan dan Akua-Industri), Kumpulan Penyelidikan Sosioekonomi komuniti nelayan dan masyarakat terpinggir (Pusat Pembangunan Sosial), dan penyelidikan kepelbagaian biologi dan warisan tabii (Fakulti Sains dan Teknologi). Masanya telah tiba untuk kita gembleng semua penyelidikan ini supaya dapat memberikan impak yang tinggi melalui gagasan IKK.

42)      Pada tahun 2013 juga perpustakaan akan memulakan transformasi menjadi Pusat Pembelajaraan Digital. Peranan perpustakaan akan diperluaskan menjadi perpustakaan digital, e-pembelajaraan dan repositori akademik. Kita perlu menyediakan pelan strategik dan pelan pelaksanaan untuk tempoh 2013 hingga 2015. Beberapa aspek pembangunan diperlukan, ini meliputi aktiviti promosi dan kesedaran pengguna, aspek latihan kemahiran baharu bagi pegawai dan sumber manusia sokongan perpustakaan, keperluan hardware dan software untuk memastikan sistem digital berfungsi, dan ubah suaian infrastruktur fizikal untuk menampung keperluan peranan baharu. Program transformasi pembelajaran digital bakal menjadi cabaran baharu warga UMT untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

43)      Kita akan memberikan keutamaan untuk menetapkan ‘jenama UMT’ sebagai sebuah universiti komprehensif berfokus terunggul di Malaysia. Selain itu, kita perlu membina citra berasaskan tujahan (nic) yang telah dipersetujui bersama iaitu ‘ilmu kelautan dan sumber akuatik’. Untuk mencapai matlamat ini, selain meningkatkan kualiti pembelajaran, penyelidikan dan pemindahan ilmu, kita perlu membangunkan citra berasaskan strategi yang tepat. Citra UMT perlu dibangunkan berasaskan kepada tiga perspektif sasaran: global, kebangsaan dan tempatan (negeri). Oleh itu, perancangan penjenamaan dan pembangunan citra, serta pelan tindakan susulan akan disediakan berasaskan keperluan semua sasaran ini. Semua kepimpinan dan ahli akademik perlu merasionalkan sumbangan mereka berpandukan kepada tiga perspektif ini, sementara aktiviti pembangunan citra mulai tahun 2013 akan berpaksikan kepada citra di peringkat Terengganu, Malaysia dan antarabangsa.

Amanat YB Menteri 2013

Hadirin yang dikasihi sekalian,

44)        Amanat yang disampaikan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi pada 29 Januari 2013 telah memberikan penekanan kepada beberapa isu dasar yang masih perlu dimantapkan. Antaranya ialah aspek pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi, kualiti institusi pengajian tinggi, pembangunan dan pengurusan bakat akademik, pengantarabangsaan, dan menyediakan graduan untuk pasaran global. Sebahagian besar daripada hasrat YB Menteri adalah sejajar dengan pelan transformasi governans dan akademik UMT. Oleh itu, terjemahan kepada pelan tindakan universiti perlu dilaksanakan secara tepat dan syumul.

45)        Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran beliau telah memberikan perhatian yang tinggi kepada kualiti graduan melalui usaha meningkatkan kemahiran pemikiran peringkat tinggi, keupayaan menyelesaikan masalah dan komunikasi lisan. Beliau juga telah menegaskan usaha yang berterusan perlu dalam aspek transformasi kurikulum berasaskan hasil, pengajaran berpusatkan pelajar, dan menjadikan penilaian berterusan sebagai asas pembelajaran. Ringkaskan, beliau ingin melihat peranan ahli akademik sebagai penyampai ilmu dan kemahiran kepada graduan diletakkan di tempat asal iaitu Peranan Pertama Universiti.

46)        YB Menteri juga telah meminta semua IPT meneliti kembali hala tuju penyelidikan dan inovasi supaya usaha ini mampu memberikan impak tinggi. Beliau menyarankan supaya setiap ahli akademik memberikan perhatian kepada penyelidikan fundamental untuk mengukuhkan kepakaran masing-masing. Penjanaan ilmu baharu tidak sahaja penting untuk menghasilkan penerbitan berimpak tinggi, tetapi ia bakal menjadi asas kepada pengajaran yang berkualiti dan pemindahan ilmu untuk kepentingan negara. Pada masa yang sama, IPT juga telah diberikan tanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan gunaan dan bernilai komersial sehingga dapat menghasilkan harta intelek (IP) dan produk baharu berteknologi tinggi. Ini merupakan asas inovasi teknologi yang mampu menganjak keupayaan negara menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi.

47)        Amanat tahunan YB Menteri perlu dijadikan panduan untuk setiap IPT bergerak ke hadapan. Kita semua perlu menterjemahkan hasrat beliau dan mengamalkan dalam setiap aktiviti utama kita iaitu pengajaran, penyelidikan dan pemindahan ilmu. Amanat ini akan dimuat turunkan dalam laman web UMT untuk rujukan semua.

Kenyataan Penutup

Hadirin yang dikasihi sekalian,

48)        Seluruh gagasan pendidikan tinggi negara sedang mengalami perubahan yang pesat. Kita tidak ada pilihan, melainkan terlibat dalam transformasi akademik yang sedang melanda komuniti global. Soalnya apakah kita mahu bersikap reaktif, melihatnya sebagai faktor luaran yang mendesak kita supaya terus berubah. Atau sanggup menerima hakikat, ia datang dari dalam diri kita sendiri, untuk meningkatkan keupayaan menyumbang dengan prestasi yang tinggi bagi kepentingan negara dan masyarakat sejagat. Saya ingin menegaskan, kita perlu bersikap proaktif, melihat perubahan sebagai satu usaha memajukan diri sendiri, dan pada masa yang sama berkongsi meningkatkan kualiti dan kecemerlangan unit, jabatan, bahagian, pusat, institut atau fakulti tempat kita ditugaskan.

49)        Syarahan ini telah meletakkan asas bagaimana kita boleh meningkatkan prestasi sistem sokongan akademik, penyelidikan dan pelajar yang baru sahaja diperkemaskan untuk melonjakkan UMT ke satu tahap prestasi baharu. Pada masa yang sama saya turut menggariskan dasar dan strategi baharu untuk mengukuhkan program akademik yang berwawasan, memantapkan penyelidikan berimpak tinggi, dan membina strategi penjanaan pendapatan. Saya juga telah menggariskan inisiatif baharu yang bakal dimulakan pada tahun ini, dan ternyata ia sejajar dengan amanat tahun baharu YB Menteri Kementerian Pengajian Tinggi. Hayatilah, dan bersama-samalah kita laksanakan dengan hati yang terbuka dan iltizam yang tinggi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

50)        Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua hadirin kerana hadir ke majlis Syarahan Tahunan 2013 Naib Canselor UMT.

51)        Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak urus setia kerana telah berjaya menganjurkan majlis ini. Semoga tahun 2013 akan menjelmakan kejayaan yang cemerlang buat UMT.

Sekian, wa billahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.